KATA ALU-ALUAN
MENTERI BESAR KELANTAN

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Firman Allah SWT di dalam surah al‘Alaq, ayat 15:

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Ayat pertama yang diturunkan ini memberi isyarat bahawa asas pembangunan tamadun manusia adalah bermula dengan ilmu. Sejarah membuktikan sesebuah tamadun terbina dengan kegemilangan ilmu yang melahirkan ramai cendekiawan dengan memiliki kepakaran yang pelbagai. Apa yang dikagumi dan dibanggakan pada hari ini sama ada kecanggihan teknologi mahu pun kehalusan seni bina bangunan hakikatnya tertegak di atas ketinggian ilmu.
Islam adalah agama ilmu yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Signifikan penurunan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW, jelas menzahirkan kedudukan dan kepentingan ilmu yang menyinari setiap langkah dan tindakan untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Oleh sebab itu, ketinggian intelektual ahli ilmu pada neraca Islam adalah yang membawa kepada bertambahnya takut kepada Allah SWT.
Namun, di era kecerdikan buatan hari ini, manusia berdepan cabaran kebejatan akhlak dan serangan pemikiran yang menyesatkan. Ilmu yang tidak menambahkan iman dan takwa sebenarnya tidak membawa sebarang makna. Sebab itu, umat Islam perlu diperkasa dengan kefahaman ilmu yang sahih serta kesedaran siyasi yang berpandukan hikmah. Oleh itu, kejarlah kejayaan dalam apa sahaja bidang dan lapangan yang diminati, tetapi biarlah memberi erti dan menambah manfaat buat Islam.
Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited dengan iltizam yang tinggi dalam aspek pendidikan untuk melihat anak-anak Kelantan berjaya di dalam semua sektor serta menjadi seorang yang Rabbani. Penggubalan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri untuk melahirkan insan yang berjaya dengan sistem pendidikan yang holistik dan seimbang. Dasar ini bukan sekadar dokumen, tetapi suatu aspirasi untuk mendidik jiwa, mengasah akal dan membentuk insan yang berakhlak mulia.
Setelah dilancarkan program Tuisyen Rakyat Sejahtera khusus buat pelajar kurang berkemampuan yang dijalankan di setiap DUN bermula tahun lepas, rekod pencapaian cemerlang pelajar-pelajar Kelantan semakin bertambah. Seiiring perkembangan semasa, pada tahun ini kerajaan negeri terus melangkah dengan memperkenalkan E-Tuisyen Rakyat Sejahtera yang lebih pantas, mudah diakses dan bersifat inklusif sebagai kesinambungan program Tuisyen Rakyat Sejahtera yang dijalankan secara fizikal.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada YB. Dato’ Hj. Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan bersama-sama pasukan pelaksananya atas kejayaan membangunkan platform pembelajaran secara digital ini. Insya-Allah, saya optimis episod kecemerlangan pelajar-pelajar Kelantan akan terus dilakarkan dengan usaha dan inisiatif yang digerakkan ini yang akan menjadi kebanggaan kita semua.
Sekian.
“ISLAM MEMBIMBING, RAJA MEMIMPIN, NEGERI DIBERKATI”
“PENGHAYATAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”
DATO’ PANGLIMA PERANG USTAZ DATO’ HAJI MOHD NASSURUDDIN BIN HAJI DAUD,
S.J.M.K.,D.J.M.K.,J.M.K. (Kelantan)
Menteri Besar Kelantan
Scroll to Top